Rakaman audio: Polis belum terima laporan Zahid, Anwar

0
2

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan polis belum menerima laporan daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakaman audio perbualan telefon yang tular.

Beliau berkata, sehingga semalam tiada sebarang laporan polis diterima daripada pegawai kedua-dua pemimpin parti politik itu seperti mana yang dimaklumkan menerusi media.

Katanya, jika laporan tersebut dibuat, pihak polis akan menjalankan siasatan seperti mana yang dijelaskan sebelum ini.

“Kalau Zahid kata dia tak ada buat ‘conversation’ itu, dia patut yakin dan dia buat laporan polis (tetapi) sampai semalam (Khamis) tak ada, dia tak buat pun laporan polis.

“Begitu juga Anwar, kalau dia yakin bukan dia yang bersuara, dia buat laporan polislah dan saya nak bagi tahu melakukan laporan polis dan laporan itu palsu adalah melakukan satu kesalahan.

“Jadi kalau dia rasa dia tak melakukan kesalahan, apa nak takut, buatlah laporan polis. Dia kata pegawai nak buat laporan polis, pegawai dia pun tak buat lagi, yang buat orang lain tapi pegawai dia tak ada,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan dengan Anwar seperti dalam audio rakaman yang tular di media sosial itu.

Malah, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perbualan antaranya dengan Presiden PKR itu selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 baru-baru ini.

Berikutan itu beliau mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang terlibat.

Malam tadi, Anwar turut menafikan perkara tersebut dan meminta pegawainya membuat laporan polis, selain mendakwa ia cubaan untuk mengalih perhatian berhubung perseteruan antara Umno dan Bersatu.

Terdahulu tular satu klip audio perbualan didakwa antara Anwar dan Ahmad Zahid sedang berbincang strategi politik semasa PAU baru-baru ini.

Menerusi audio tersebut, perbualan antara kedua-dua individu sangat mesra dan saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan semasa PAU. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/08/annuar-yakin-audio-100-peratus-tulen/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here