Kebenaran rentas negeri Ramadan, bergantung kajian risiko KKM

0
2

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan untuk membenarkan rentas negeri menjelang Ramadan bergantung kepada kajian risiko dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, sekiranya kajian mendapati risikonya tinggi maka rentas negeri tidak akan dibenarkan serta meminta semua pihak jangan terlalu selesa kerana kes jangkitan Covid-19 masih tinggi.

“Kita jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang kerana kes baharu Covid-19 harian masih lagi lebih 1,000 kes.

“Waktu kita buat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mula-mula dulu jumlah kes dilaporkan adalah 347 kes dan sekarang kes lebih 1,000. Kita masih lagi dalam keadaan angka kes yang tinggi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara Pharmaniaga Berhad dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Hotel Royale Chulan Damansara, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, dalam situasi sekarang, kerajaan membuka ekonomi kerana mahu membantu rakyat untuk terus hidup kerana jika sektor ekonomi ditutup seperti PKP 1.0, ia akan memberi kesan besar terutama kepada peniaga mikro dan sebagainya.

“Walaupun kita buka (ekonomi), kita kawal. Keadaan nampak dah tenang ketika ini tetapi kes positif Covid-19 masih ada sekitar kita dengan jumlah masih lebih 1,000 kes. Jadi, apa pun tunggulah keputusan yang dibuat KKM,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya terdapat penglibatan orang dalam membabitkan kes tular borang rentas negeri kosong yang sudah ditandatangani serta dicop pihak berkuasa.

Beliau berkata, keadaan itu telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan kerana pemohon kebenaran rentas negeri perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

“Mana boleh cop dahulu, isi kemudian sebab (polis) kena tahu apa tujuan rentas negeri. Misalnya tujuan balik kampung sebab mak atau ayah sakit, itu dibenarkan kerana kecemasan.

“Kalau keadaan seperti itu berlaku, ia memang salah dan tindakan mesti diambil kepada pihak yang mengeluarkannya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/kerajaan-teliti-kebenaran-rentas-negeri-aidilfitri-pm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here