MEWAKILI skuad Harimau Malaya menjadi impian Allee Putra Azril yang bakal berangkat ke Sepanyol untuk menyertai akademi antarabangsa, Malaga City FC.
Remaja berusia 15 tahun dari Kelantan itu berkobar-kobar untuk mengembangkan bakat dalam bola sepak apabila bakal terbang ke Malaga, Jumaat ini.
Bagi Allee Putra, pencapaian Luqman Hakim Shamsudin mengikat kontrak bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, menjadi inspirasi dalam mengejar impian beraksi di Eropah.
“Harapan saya suatu hari nanti dapat mewakili Malaysia dan kelab di Eropah,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan surat pembiayaan oleh R2 Architect Sdn Bhd di sini hari ini.
Anak muda berasal dari Kampung Chabang Tiga, Melawi di Bachok itu pernah mewakili skuad Piala Belia Perlis musim 2019 ketika berusia 14 tahun, namun tidak lama selepas skuad Singa Utara berdepan masalah kewangan.
Selepas itu, pemain yang beraksi di posisi tengah dan pertahanan terbabit mengasah bakat bersama pasukan daerah Bachok bawah 23 tahun.
Mengenai persiapan ke Sepanyol, anak tunggal kepada bekas pemain Piala Presiden Kelantan sekitar 1990-an, Azril Mohd Zawawi itu berkata semuanya dalam keadaan baik dan dia tidak sabar untuk meraih pengalaman baharu.
Sementara itu, Pengarah R2 Architect Sdn Bhd, Ruslan Razak berkata pembiayaan kepada Allee Putra adalah khidmat sosial korporat firma arkitek terkemuka itu dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak.
“Bakat yang ada pada Allee Putra adalah sebab utama kami membiayai dari segi visa, yuran pengajian bahasa, penginapan, tiket penerbangan dan lain-lain keperluan.
“Malaga City FC menawarkan Allee Putra dua tahun pengajian yang mana dia ditawarkan tempat ke sana dan bukan memohon masuk akademi.
“Dia juga mendapat sokongan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) serta KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan),” katanya.
Bapa Allee, Azril pula mengucapkan terima kasih kepada R2 Architect Sdn Bhd atas pembiayaan itu dan berharap pemergian anaknya ke Sepanyol akan menjadi titik tolak dalam mencapai cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.
Akademi FC Malaga City adalah sebuah akademi yang mengumpulkan pemain muda berbakat dari Sepanyol dan pelbagai negara, antaranya Amerika Syarikat, Brazil, Australia, Itali serta negara Eropah lain dan Afrika.
Pelatih juga berpeluang beraksi menentang pasukan akademi profesional lain termasuk Barcelona, Valencia, Sevilla dan Atletico Madrid. – Malaysia Post
Biodata
Nama Penuh: Allee Putra Azril
Tarikh Lahir: 3 Ogos 2005
Asal: Bachok, Kelantan
Posisi: Tengah, Pertahanan
Tinggi: 165cm
Berat: 55kg
Pasukan / Kelab:
2020 – Akademi FC Malaga City
– Jajahan Bachok B-23
2019 – Belia Perlis B-19
2018 – Jajahan Ketereh B-23
2017 – Jajahan Bachok B-12

