Enam ‘orang dalam’ bantu sindiket PLKS palsu ditahan SPRM

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang ditumpaskan pada Selasa lalu.

Kesemua mereka yang dipercayai menjadi ‘orang dalam’ dalam melicinkan modus operandi sindiket itu telah diberkas secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, malam tadi.

Empat daripada mereka adalah pekerja teknikal syarikat pembekal sistem, manakala dua lagi kakitangan Jabatan Imigresen (Imigresen) berusia antara 34 hingga 42 tahun.

Sumber berkata, empat pekerja teknikal dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Penahanan pekerja syarikat pembekal sistem itu turut membawa kepada penemuan beberapa komputer di Imigresen yang dilengkapi peranti dan perisian penggodaman.

“Dua kakitangan Imigresen pula disyaki bersekongkol membantu sindiket terbabit menjalankan kegiatan menggodam sistem berkenaan.

“Mereka disyaki turut menerima rasuah sebagai habuan bersubahat dalam kegiatan itu,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaru berkenaan.

“Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan amat serius kepada aspek keselamatan negara.

“Kesemua suspek akan disiasat berhubung pembabitan mereka disyaki bersekongkol menggodam sistem imigresen.

“Segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam pelaksanaan siasatan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here