Dah jadi kes polis

0
2

POLIS menyiasat kes pertengkaran seorang wanita dipercayai pemilik sebuah kafe di Petaling Jaya dengan penghantar makanan yang tular di media sosial sejak semalam.

Video berdurasi 57 saat dirakam pelanggan kafe itu menunjukkan seorang penghantar makanan bertengkar dengan seorang wanita sebelum wanita terbabit dilihat menampar lelaki berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata pihaknya menerima dua laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak yang terbabit dalam kejadian itu.

“Pada jam 2.04 petang semalam Polis Daerah Petaling Jaya menerima satu laporan polis di mana seorang lelaki penghantar makanan telah dipukul di sebuah kafe dan mangsa mendakwa ditampar di bahagian leher kiri oleh pemilik kafe.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila pemilik kafe berselisih faham dengan mangsa berkaitan kelewatan dalam menguruskan penghantaran makanan yang dipesan hingga menyebabkan pelanggan membatalkan pesanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas ditampar mangsa dihalau dari kafe terbabit dan kedua-dua pihak membuat laporan polis susulan video rakaman kejadian tular di media sosial.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here