PKPD 3 kawasan ditamatkan esok

0
2

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Sabah dan satu di Sarawak ditamatkan bermula tengah malam esok.

Dua lagi kawasan baharu di Sarawak dilaksanakan PKPD bermula esok dan satu lagi lokaliti di negeri sama dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kawasan yang ditamatkan PKPD adalah Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah serta Kampung Chupak, Siburan, Serian, Sarawak

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes aktif di ketiga-tiga lokaliti ini adalah terkawal.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di kawasan berkenaan pada esok seperti dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dua lokaliti yang dilaksanakan PKPD bermula esok pula adalah Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, Sarawak serta Kampung Serpan Laut, Asajaya, Bahagian Samarahan, Sarawak.

“KKM hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, terdapat 289 kes positif melibatkan 279 orang tahanan, lapan petugas penjara dan dua ahli keluarga kakitangan penjara.

“Manakala di Kampung Serpan laut, sebanyak lima kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini,” katanya.

Menurutnya, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti itu bermula tengah malam ini sehingga 21 April 2021.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara Sri Aman adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

“Pelaksanaan PKPD di Kampung Serpan Laut pula adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, menurutnya kawasan yang dilanjutkan PKPD adalah di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, Sarawak

“KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta terdapat kes baru yang dikesan dalam kalangan komuniti di lokaliti itu dan Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kampung ini bermula 10 April sehingga 23 April 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here