SEORANG bomoh ditemui mati dipercayai dibunuh susulan terdapat beberapa kesan tembakan di badannya.
Kejadian itu berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan perkampungan Bukit Rangin Perdana 2, dekat sini, kira-kira jam 9 malam semalam.
Mangsa, Mohammad Abdul Rahim Nasri, 31, ditemui terbaring tidak bernyawa dengan kesan darah pada bahagian badan oleh ahli keluarga sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11 malam dan siasatan awal menemukan beberapa kesan tembakan di badan mangsa serta kecederaan di kepala.
“Siasatan awal dijalankan mendapati tempat kejadian merupakan rumah kampung jenis papan, terletak lebih kurang 20 meter dari jalan utama dan lebih kurang 100 meter dari rumah jiran terdekat.
“Mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 60 tahun dan menjalankan aktiviti perubatan tradisional (bomoh). Mangsa juga sudah berkahwin dan baru menerima cahaya mata lelaki namun isterinya kini sedang berpantang di rumah ibu mentua di Pekan.
“Semasa kejadian mangsa berseorang di rumah kerana ibunya berniaga di tapak berniaga Bukit Rangin Perdana 2 kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, manakala adik-beradik yang lain tinggal berasingan.
“Motif kejadian dipercayai disebabkan dendam atau marah kepada mangsa namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan dipetik dari Utusan Malaysia, hari ini.
Sementara itu, adik mangsa, Mohd Firdaus Nasri, 29, berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi tentang kejadian yang menimpa abangnya itu sebaliknya membiarkan polis membuat siasatan.
Beliau mendakwa, pelbagai andaian dibuat orang ramai yang turut menyebarkan gambar mangsa di laman sosial dan kumpulan WhatsApp sehingga menjejaskan emosi keluarga.
“Keluarga masih bersedih dengan kejadian ini tetapi orang ramai seolah-olah tidak menghormati perasaan keluarga kami apabila mereka menyebarkan gambar arwah yang masih berlumuran darah,” katanya.
Katanya, sejurus selepas kejadian sebelum ketibaan anggota polis, ada orang awam yang masuk ke rumah dan merakam gambar mangsa serta menyebarnya, malah ramai yang membuat pelbagai andaian mengenai motif kejadian.
“Ketika pulang ke rumah, ibu terkejut melihat arwah sudah terbaring namun ibu takut untuk mendekati lalu menghubungi abang sulung,” katanya.
Beliau berkata, abangnya bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional sejak setahun lalu dan rumahnya sering dikunjungi orang ramai yang datang untuk mendapatkan khidmatnya selain turut ke negeri lain untuk berubat. – Malaysiapost

