‘Tembak kaki sendiri di media sosial merugikan Umno’

0
2

“KALAU kita sendiri tak mahu hormati keputusan kita buat sendiri, siapa lagi?,” kata Ketua Pemuda Umno Selayang , Shah Zanuriman Nuar.

Menurutnya tindakan ahli Umno  ‘menembak’ kaki sendiri di media sosial adalah tindakan yang tidak menguntungkan parti.

Sebaliknya, Shah Zanuriman berkata, tindakan itu akan memberi keuntungan kepada musuh-musuh politik Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya amat setuju dengan saranan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) Timbalan Presiden Umno agar kita tidak menembak kaki sendiri di media sosial.  Segala perbuatan itu tidak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional malah menguntungkan mereka yang mahu mentalkinkan kita.

“Kita fokus dengan kerja ke arah merealisasikan keputusan parti yang kita sendiri angkat hingga ke peringkat tertinggi. Jangan jadi umpama ‘rumah siap pahat berbunyi’,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Jelas beliau lagi jika masing-masing tidak mahu menghormati apa yang telah diputuskan siapa lagi yang akan berbuat sedemikian.

“Kalau kita sendiri tak mahu hormati keputusan kita buat sendiri, siapa lagi? Kalau kita tak nak bermula sekarang untuk merealisasikan kehendak yang kita persetujui sendiri, bila lagi?,” katanya.

Setelah lebih seminggu Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 berakhir, beberapa pemimpin parti itu tidak menzahirkan solidariti terhadap usul yang diputuskan dalam PAU tersebut.

Malah, beberapa pemimpin Umno seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa silih berganti dengan lantang mengkritik keputusan PAU tersebut menerusi media sosial mahu pun sidang media.

PAU 2020 memutuskan Umno akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional sehingga pembubaran Parlimen.

Perwakilan PAU juga sebulat suara bersetuju menetapkan kerjasama itu sehingga Ogos ini selari berakhirnya tarikh proklamasi darurat. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here