AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meminta graduan bersyukur dan bersabar walaupun ditawarkan pekerjaan dengan gaji rendah.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu, berkata sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa tidak sepatutnya lepas tangan dengan membuat kenyataan seumpama itu.
“Seorang Menteri (Ekonomi) tidak seharusnya meminta graduan supaya bersabar sahaja dan bersikap lepas tangan begitu.
“Kerajaan harus ada pelbagai rancangan dan pelan ekonomi untuk dibentangkan. Strategi perlu segera dilaksanakan. Bukan suruh graduan sabar dan menunggu perkara yang tidak pasti sahaja dari kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, Syed Saddiq mengulangi gesaannya menuntut supaya Parlimen kembali bersidang untuk membahaskan soal ekonomi rakyat.
“Kerajaan dan Pembangkang ada tanggungjawab cari jalan terbaik untuk negara.
“Jadi soalan saya, adakah dalam semua hal rakyat nanti, modus operandi kerajaan adalah meminta rakyat supaya terus bersabar sahaja?,” soalnya.
Beliau secara sinis menyifatkan ‘sabar’ kini menjadi sebahagian tugas rakyat Malaysia dalam mendepani pelbagai isu semasa.
“Bersabar itu sudah jadi sebahagian dari tugas rakyat Malaysia. Kerajaan tak bantu hal gaji? Sabar. Menteri langgar SOP, sabar.Laptop tak dapat-dapat, sabar,” katanya.
Semalam sebuah portal berita melaporkan, Mustapa meminta golongan graduan bersyukur sekiranya mendapat peluang pekerjaan walaupun bergaji rendah.
Mustapa dilaporkan berkata, pasaran dan permintaan tenaga buruh lemah kerana ekonomi menguncup sebanyak 5.6 peratus.
“Pasaran tenaga buruh, permintaan buruh dan permintaan tenaga kerja lemah kerena ekonomi kita menguncup 5.6 peratus. Itu pun, dengan ada langkah-langkah kerajaan, kalau tiada lagi teruk lagi,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/04/graduan-perlu-bersyukur-ada-kerja-walau-gaji-rendah-tok-pa/

