Covid-19: Kadar kebolehjangkitan kembali meningkat lebih 1.0

0
3

LONJAKAN kes baharu Covid-19 selama tiga hari berturut-turut menyaksikan kadar kebolehjangkitan (Rt) pandemik itu di negara ini meningkat kepada 1.02 setakat semalam.

Ia adalah kali pertama Rt Covid-19 di negara ini kembali mencatatkan nilai melebihi 1.0 dalam tempoh dua bulan, apabila merekodkan nilai 1.09 pada 4 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkonsi data itu di Facebook malam tadi, menyaksikan nilai Rt mencatatkan peningkatan tiga hari berturut-turut, daripada 0.95 pada Khamis lalu kepada 0.97 kelmarin dan 1.02 semalam.

Peningkatan itu menyaksikan jangkitan Covid-19 kini berada pada unjuran meningkat dan jika Rt melonjak kepada 1.2, kes baharu di negara ini dijangka menghampiri 3,000 kes sehari menjelang hujung bulan depan, khususnya jika prosedur operasi standard (SOP) diabaikan, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, nilai Rt boleh diturunkan melalui pematuhan SOP dan jika ia turun kepada 0.8, jumlah kes baharu Covid-19 diunjurkan menjadi dua angka menjelang akhir bulan depan.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan lima negeri mencatatkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan semalam, manakala dua negeri merekodkan nilai Rt 1.0.

Perak mencatatkan nilai Rt tertinggi dengan 1.61, disusuli Labuan (1.34), Pahang (1.30), Putrajaya (1.29) dan Kelantan (1.07), manakala Melaka dan Sarawak merekodkan Rt 1.0.

Selain itu, tujuh negeri mencatatkan Rt melebihi 0.90 iaitu Sabah (0.99), Kedah (0.97), Pulau Pinang (0.93), Johor (0.93), Selangor (0.92), Kuala Lumpur (0.92) dan Negeri Sembilan (0.91).

Terengganu pula merekodkan Rt terendah semalam dengan 0.56, dan Perlis mencatat nilai kosong kerana tiada kes baharu.

Kes baharu jangkitan Covid-19 mencatatkan peningkatan ketika ini, daripada 1,178 kes pada Khamis lalu kepada 1,294 kelmarin dan 1,638 semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here