Ungkapan ‘Abang besar’ lebih kepada menghormati – Hishammuddin

0
3

MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan ungkapan ‘abang besar’ yang digunakan dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, baru-baru ini adalah sebagai tanda hormat.

Menerusi ciapan di Twitternya semalam, beliau berkata, ungkapan tersebut lebih kepada menghormati Menteri Luar China itu, bukan merujuk kepada hubungan kukuh dua hala Malaysia-China.

Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara adalah berdasarkan kepercayaan dan kesaksamaan bersama.

“Menghormati Wang Yi yang lebih tua dan Menteri Luar yang lebih senior, oleh itu ‘abang’ kepada saya secara peribadi. Menghormati tidak menandakan kelemahan.

“Yakinlah bahawa Malaysia kekal bebas, berprinsip dan pragmatik dari segi dasar luar negara berasaskan kepada nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan serta kesaksamaan,

“Kami akan terus memberikan sumbangan bermakna ke arah masyarakat negara yang adil dan saksama,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Hishammuddin yang menggelar China ‘abang besar’ kepada Malaysia sebagai satu penghinaan terhadap pendirian negara ini.

Anwar berkata, meskipun China negara sahabat dan segala usaha perlu dibuat bagi meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan dengannya, bahasa sebegitu tidak sepatutnya digunakan dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa.

“Apa yang menghairankan adalah tindakan Hishammuddin sewaktu pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi yang menyifatkan republik itu sebagai ‘big brother’ kepada Malaysia.

“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/03/anggap-china-sebagai-big-brother-anwar-tegur-hishammuddin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here