Sokong tangguh Undi18: Guan Eng sifatkan PAS hiprokrit

0
2

PENDIRIAN PAS yang menyokong penangguhan penurunan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sebagai hipokrit.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pendirian PAS itu tidak selari dengan tindakan parti berkenaan yang menerima ahli parti semuda 13 tahun.

Guan Eng berkata, parti itu juga tiada masalah dengan usia perkahwinan bawah 18 tahun.

“Jelas Hadi tidak jujur ketika dia mengundi pelaksanaan Undi 18 dalam Parlimen dan kemudian membuat pusingan U dengan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi politik.

“Pada masa sama, golongan muda dianggap sudah cukup matang untuk memandu dan malah berkahwin di bawah usia 18 tahun. PAS dan Hadi tiada bantahan dengan remaja lelaki dan perempuan bawah 18 tahun untuk berkahwin. Usia itu dianggap sudah cukup matang untuk berkahwin tetapi tidak untuk mengundi.

“Apa yang lebih hipokrit adalah PAS terima ahli semuda 13 tahun, yang boleh mengundi dalam mesyuarat parti,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, semua ahli Parlimen yang menyokong Undi18 sebelum ini perlu menyuarakan bantahan terhadap sebarang siasatan pihak berkuasa.

“Kesemua ahli Parlimen yang mengundi di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 untuk meminda had umur mengundi kepada 18 tahun perlu menentang siasatan polis terhadap perhimpunan aman tersebut.

“Anak muda kecewa kerajaan PN yang tidak menepati janji untuk melaksanakan Undi 18 pada Julai 2021, namun ditangguhkan pada September 2022 seperti diumumkan oleh SPR,” katanya.

Sebelum ini, PAS bersetuju terhadap penangguhan pelaksanaan undi 18 kerana usia itu bukan penentu kematangan bagi rakyat negara ini memilih kerajaan.

Malah, Abdul Hadi menegaskan, penangguhan undi 18 tahun tidak akan memberi kesan kepada PAS.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/26/undi-18-lihat-pada-kematangan-pengundi-bukan-had-umur-semata-mata-hadi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here