MAJLIS Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48 boleh dijadikan contoh terbaik kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain untuk mengadakan majlis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan masa yang diambil oleh UKM dalam menjalankan majlis berkenaan.
“Saya mendoakan sidang-sidang seterusnya juga akan berjalan dengan lancar dan UKM meneruskan pematuhan SOP yg ketat seperti sidang pada hari ini,” katanya dipetik daripada Sinar Harian, hari ini.
Dr Noor Hisham terdahulu dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) dalam Majlis Konvokesyen UKM.
Beliau yang merupakan alumni Fakulti Perubatan UKM 1988 mengetuai penganugerahan berkenaan yang dianugerahkan oleh Canselor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Dr Noor Hisham turut merakamkan penghargaan atas penganugerahan berkenaan. – Malaysiapost

