MALAYSIA akan dilihat menjadi boneka asing kepada negara kuasa besar dengan mengakuinya sebagai ‘big brother’.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cara Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan hubungan dengan negara kuasa besar bertentangan dengan amalan biasa Malaysia yang sentiasa berkecuali.
“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing.
“Sebagai negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, kenyataan beliau itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berpendapat, cara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berdiplomasi dengan kerajaan China baru-baru ini amat menghairankannya meskipun ianya bertujuan baik untuk meningkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam perdagangan antarabangsa.
“China adalah negara sahabat dan kita seharusnya menumpukan segala usaha dan keringat untuk meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan dengan negara tersebut.
“Namun, apa yang menghairankan adalah tindakan Menteri Luar Hishammuddin Hussien sewaktu pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi yang menyifatkan Republik itu sebagai ‘big brother’ kepada Malaysia.
“Menteri Luar harus segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia lantas menarik balik kenyataan hambar tersebut,” katanya.
Terdahulu, Hishamuddin telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China di Fujian bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sekali gus memulakan pengukuhan kerjasama Malaysia-China dalam pelbagai bidang terutama di era pasca pandemik #COVID19.
Malaysia dan China bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang akan dipengerusikan oleh Hishamuddin sendiri bersama Menteri Luar China, TYT Wang Yi.
Tindakan Hishamuddin yang menyifatkan China sebagai ‘abang besar’ Malaysia turut dikutuk oleh para pengkritik.
Bagi mereka ini adalah satu langkah yang tidak selari dengan dasar Malaysia yang tidak dilihat bersama dengan mana-mana kuasa besar dunia. – Malaysiapost

