CALON Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah peluang untuk semua pihak, khususnya pengundi menterjemahkan solidariti bersama Muafakat Nasional (MN)
Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim itu berkata jika beliau diberikan mandat pada hari pengundian 29 Ogos ini, semua pihak dalam MN dapat bersama-sama membangunkan kawasan berkenaan.
“Insya-Allah dengan mandat yang diberikan, kita akan sama-sama bergerak untuk memajukan kawasan kita.
“Selepas ini juga kita akan bersama sehingga Pilihan Raya Umum dan semoga terus bermuafakat selepas itu,” katanya dalam ucapan ringkas pada majlis Ceramah Lima Setiausaha Agung di Slim River malam ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung MIC, Datuk Asojan Muniyandy.

