JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri berkenaan sepanjang Ramadan termasuk solat tarawih serta moreh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarahnya Mohd Zakuan Zakaria, berkata pelaksanaan semua aktiviti itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan garis panduan aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan akan berkuat kuasa mulai 12 April ini.
Sehubungan itu, menurutnya, bagi solat tarawih dibenarkan dilakukan sebanyak 20 rakaat namun bagi memastikan tempoh berkumpul tidak terlalu lama pihak masjid dan surau boleh melaksanakannya sebanyak lapan rakaat dengan kadar bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti keluasan (masjid dan surau).
“Jemaah hendaklah berusia tujuh hingga 70 tahun sahaja serta berada dalam keadaan sihat, bagaimanapun tazkirah semasa solat sunat tarawih adalah tidak dibenarkan dan imam serta bilal perlu meringkaskan bacaan zikir, selawat serta doa.
“Manakala kariah masjid dan surau juga boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh serta sahur di kawasan masing-masing, namun hidangan makan bertalam tidak dibenarkan.
“Turut dibenarkan ialah majlis ilmu dengan penyertaan jemaah ditetapkan sendiri oleh pihak masjid dan surau, namun bermalam di premis berkenaan tidak dibenarkan, katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, JHEAIPP turut membenarkan solat sunat Aidilfitri serta aktiviti menziarahi kubur sepanjang Ramadan dan Syawal. -Malaysiapost

