Mahkamah benar Pejuang cabar Menteri, ROS

0
3

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.

Mahkamah memberi kebenaran untuk Pejuang mencabar tindakan dua responden itu selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan parti berkenaan membuat rayuan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Sabri Othman yang mewakili kedua-dua responden (Menteri Dalam Negeri dan ROS) memaklumkan perkara itu.

“Saya rekodkan tiada bantahan daripada AGC berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman dan tiada perintah kos untuk kes ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, ditanya Ahmad Kamal, sama ada menteri berkenaan membuat keputusan (berhubung rayuan Pejuang untuk mendaftarkan parti) kerana jika ada keputusan dibuat, permohonan semakan kehakiman akan menjadi akademik, Mohd Sabri menjawab: “Setakat ini belum ada keputusan disampaikan kepada AGC membabitkan rayuan berkenaan.”

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Pejuang selaku pemohon pula berkata pihaknya memfailkan sijil perakuan segera supaya kes itu didengar secepat mungkin.

Ahmad Kamal menetapkan 15 April ini untuk pengurusan kes dan mahkamah akan menetapkan tarikh seterusnya untuk mendengar merit bagi permohonan semakan kehakiman.

Hari ini sepatutnya mahkamah mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu.

Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan ROS sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Amiruddin antaranya memohon deklarasi kegagalan responden pertama membuat keputusan terhadap surat rayuan Pejuang pada 8 Januari lalu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua, melanggar kewajipan statutorinya mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Beliau juga memohon deklarasi pelanggaran kewajipan statutori responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap rayuan parti itu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua adalah tidak munasabah, berniat jahat, satu bentuk percubaan tidak wajar untuk menafikan hak berperlembagaan pemohon untuk berpersatuan dan bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logo sendiri.

Media pada 2 Februari lalu melaporkan, Pejuang yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu selepas permohonan mereka ditolak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, permohonan pendaftaran Pejuang ditolak pada 6 Januari lalu berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/09/pendaftaran-ditolak-pejuang-buat-rayuan-kepada-ros/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here