KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan akan memantau isu kenaikan mendadak harga barang menjelang musim perayaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid Rosol, berkata dalam usaha itu, KPDNHEP akan melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang diumumkan dua minggu sebelum sambutan.
“Ia salah satu inisiatif KPDNHEP untuk mengawal harga dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program secara langsung di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), malam tadi.
Sementara itu, Rosol ketika menjawab dakwaan bahawa KPDNHEP hanya menjaga golongan peniaga di negara ini, menyifatkan ia sebagai tidak tepat.
Beliau berkata, ini kerana, kementerian itu perlu memastikan semua pihak di dalam rantaian kepenggunaan disantuni sebaik mungkin demi kebaikan bersama.
“Ia terbukti apabila golongan peniaga diambil tindakan di atas kesalahan yang dilakukan. Banyak saman kita keluarkan. Kalau kita jaga peniaga saja, tentu kita tak saman. Jadi kalau ada tuduhan begitu, saya rasa ia tidak tepat,”katanya.
Rosol berkata, KPDNHEP akan diambil tindakan terhadap yang dibuat dengan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hari.
“Pendekatan itu diambil bagi memastikan isu membabitkan pengguna dapat diselesaikan,” katanya.
Justeru, Rosol berkata, pengguna dinasihatkan menyimpan bukti pembelian sebagai dokumen sekiranya berlaku pertikaian mengenai kenaikan harga atau kualiti barang. – Malaysiapost

