PM diberi kuasa guna dana tanpa kelulusan melalui Parlimen

0
2

KETUA kerajaan dan ketua kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia selepas Perdana Menteri, Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Perkara itu digariskan dalam ordinan yang dikeluarkan hari ini yang menjelaskan bagi tempoh darurat berkuatkuasa, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu negeri.

Ia mengikut mana-mana yang berkenaan seperti diperuntukkan mana-mana undang-undang bertulis atau arahan Perbendaharaan atau Pekeliling Perbendaharaan yang berhubungan dengannya yang pada masa itu berkuat kuasa.

Menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 mula berkuat kuasa hari ini.

Sebelum ini, sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri yang berhubungan dengan perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri serta perbelanjaan tambahan, memerlukan suatu Akta atau Enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan negeri (DUN) bagi negeri dan pengeluaran daripada mana-mana Kumpulan Wang itu.

Sementara itu, seksyen baharu 10A dan 10B bagi ordinan itu dipinda dengan memasukkan Seksyen 10 iaitu peruntukan kewangan sementara dan ketidakpakaian tatacara bagi wang yang diperdapatkan atau diterima bagi tempoh darurat berkuat kuasa.

Dalam tempoh darurat, tatacara penggunaan wang tidak terpakai iaitu berhubung peruntukan yang berhubungan dalam perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) dan peruntukan yang berhubungan dengan perenggan 2 (2) (b) Akta Perbendaharaan (Tempatan) 1946 (Akta 188), tidak mempunyai kesan.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu berikutan pandemik Covid-19.

Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati dengan tindakan serta-merta yang dikehendaki bagi menjamin dan mengekalkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here