PENGASAS Reka Teemor, Faiz Sabri yang terlibat dalam majlis perkahwinan selebriti popular, Neelofa dan pendakwah bebas, PU Riz yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Bagaimanapun Faiz enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika dihampiri media namun sempat memberi jawapan ringkas mengatakan semuanya tiada masalah.
“Keterangan semua okay. Tiada apa nak cakap,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Faiz hadir bersama isterinya, Rozana Mumtaz yang juga pengurus majlis perkahwinan pasangan selebriti berkenaan di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Mereka tiba di IPD Dang Wangi pada jam 11.40 pagi dan dilihat keluar dua jam kemudian kira-kira jam 1.40 tengah hari.
Sementara itu, pembantu peribadi Neelofa, Nadiah Khairuddin yang turut hadir memberi keterangan, juga enggan mengulas.
Nadiah yang dipercayai ditemani peguam keluar tanpa menghiraukan media yang menunggu di luar IPD Dang Wangi.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, selamat diijabkabul dengan pendakwah bebas, Muhammad Harris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, Sabtu lalu.
Majlis berkenaan mendapat kecaman warganet selepas tular di media sosial ia berlangsung tanpa mematuhi penjarakan fizikal.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta memanggil semua yang terbabit dalam majlis berkenaan untuk membantu siasatan.
Pasangan terbabit sekali lagi mencuri tumpuan apabila beberapa gambar mereka yang didakwa merentas negeri untuk berbulan madu di Langkawi, tular sejak semalam.
Menerusi gambar tersebar, Neelofa dan suaminya dilihat berada di lapangan terbang serta dalam penerbangan dipercayai menuju ke pulau peranginan itu. – Malaysiapost

