‘Saya kaki pancing, tapi tak pernah guna katak sebagai umpan’

0
2

KETIKA hubungan dengan Bersatu semakin tegang susulan ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung minggu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menulis di Facebooknya berkenaan perihal katak.

Haiwan dua alam sebelum ini sering dikaitkan oleh kepimpinan Umno terhadap bekas wakil rakyat dari parti itu yang melompat menyertai Bersatu secara beramai-ramai selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Menerusi hantaran tersebut, Ahmad Zahid berkata beliau tertarik berkongsi berkenaan kisah seorang pemancing yang merungut harga katak mahal yang mencecah RM15 sekilogram.

Mungkin sebab itu, katanya, semakin banyak katak di pasaran sejak tahun lalu, seperti laporan Utusan Malaysia menyebut Malaysia menghasilkan 1,775,847 katak pada 2020, iaitu bertambah 39,247 ekor daripada 1,736,600 pada 2019.

“Tapi kena faham. Ini bukan katak liar. Ini katak belaan. Katak yang diternak tauke tertentu. Mungkin ramai tidak tahu bagaimana katak ternakan ada nilai jual beli di pasaran?

“Banyak kegunaan katak. Selain daripada melompat-lompat, katak dibeli untuk tujuan pancing. Ada kaki pancing menggunakan katak sebagai umpan untuk menangkap ikan.

“Katak hidup dikatakan lebih efektif berbanding katak tiruan untuk memperdaya ikan. Katak turut dijadikan sebagai sumber makanan eksotik oleh golongan tertentu,” katanya menerusi hantaran yang penuh dengan sindiran itu.

Kata Ahmad Zahid lagi, walaupun beliau kaki pancing, tetapi tidak pernah gunakan katak sebagai umpan.

“Sebab ada orang kata berdosa dan saya juga tidak akan makan katak walaupun masak tiga rasa.

“Bagi orang beragama Islam, makan haiwan dua alam adalah haram ternasuk katak dan labi-labi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here