APAKAH senioriti dan jawatan menjadi ukuran kesetiaan, demikian tanya Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi kepada Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Persoalan itu dibangkitkan susulan kenyataan Annuar yang beliau lebih senior berbanding Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam parti.
Sehubungan itu, Mohd Puad berkata tidak kira sama ada seseorang pemimpin senior atau berjawatan, ukuran terbaik kepada kesetiaan terhadap parti adalah patuh keputusan “jamaah”.
“Kita boleh mengkritik. Tetap apabila parti buat keputusan, kena patuh. Keputusan syura seperti Perhimpunan Agung Umno (PAU) semalam adalah jelas. Kenapa bising lagi secara terbuka. Mana setianya?
“Semoga Annuar Musa tidak lupa, ahli Umno di kampung dan akar umbi yang tidak pernah bermimpi jadi menteri, mereka sentiasa patuh keputusan parti.
“Bukankah mereka itu lebih tulen kesetiaannya? Mereka lebih tulen dari yang bercakap besar, yang melompat parti dan jadi parasit dalam parti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam Annuar dilaporkan berkata kesetiaannya kepada parti usah diragui walaupun strateginya mungkin berbeza.
“Tanpa takbur riak, saya katakan saya lebih senior daripada presiden. Tahun 1990 saya jadi ahli MT, dia belum MT. Saya jadi menteri dia belum menteri. Jadi jangan pertikai kesetiaan saya.
“Strategi saya dengan presiden mungkin berbeza, tapi belum tahu strategi mana lebih ampuh nak menangkan parti,” katanya ketika program Bicara PAU 2020 yang disiarkan di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Mohd Puad memberi analogi yang Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lebih senior daripada Annuar.
“Kedua duanya jadi PM. Tun M dua kali jadi PM. Bahkan mereka berdua yang melantik Annuar jadi Menteri.
“Tetapi Tun M dan Muhyiddin adalah orang yang bertanggungjawab Umno hilang kuasa di PRU14. Umno hampir diharamkan selepas PRU14,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/annuar-saya-lebih-senior-berbanding-presiden/

