KERAJAAN Pulau Pinang menganjurkan Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang selama dua hari bermula hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata melalui sesi tersebut, setiap Exco akan mengemaskini perkembangan dan pelaksanaan dasar, projek serta program di bawah portfolio masing-masing sebelum sesi soal jawab bagi membolehkan Adun mengemukakan perkara berbangkit.
Katanya, ia bagi memastikan prinsip semak dan imbang dapat dilaksanakan dalam pentadbiran negeri susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sebagai wakil rakyat perlu responsif kepada keperluan rakyat. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Adun untuk membuatkan rakyat berasa mereka diwakili oleh wakil yang dapat membantu menyelesaikan segala permasalahan berbangkit.
“Bagi pihak kerajaan negeri, fokus utama kini adalah untuk memenangi tiga krisis utama iaitu krisis kesihatan awam, ekonomi dan politik yang telah memberi ancaman dan meninggalkan impak cukup besar kepada semua, tanpa ada terkecuali.
“Justeru, adalah diharapkan semua Adun dapat menggunakan platform berkaitan sebaik-baiknya tanpa prejudis terhadap satu sama lain, sekali gus menjadikan sesi libat urus ini sebagai medium untuk penyebaran dan perkongsian idea-idea bernas dan bermanfaat demi rakyat dan Pulau Pinang tercinta,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Adun Air Putih, Lim Guan Eng menerusi perkongsian di Facebooknya berkata beliau turut hadir mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang alternatif itu di sebuah hotel di Georgetown.
Katanya, ia dihadiri semua Adun Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian Adun pembangkang termasuk Ketua Pembangkang daripada Umno dan Adun tunggal PAS.
“YAB Ketua Menteri mengucapkan Selamat Bersidang! Demokrasi berparlimen masih boleh hidup di Pulau Pinang,” katanya. – Malaysiapost

