“PIAGAM Muafakat Nasional (MN) yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kenyataan berkias Presiden Umno itu dipercayai dituju kepada PAS untuk mengingatkan parti itu mengenai tindakan yang sepatutnya diambil sebagai sekutu dalam MN.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hubungan Umno dan PAS harus dipelihara sewajarnya memandangkan penubuhan MN diiringi linangan air mata ahli kedua-dua parti selepas bersengketa selama lebih enam dekad.
“Melalui MN, kedua-dua parti bersetuju untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti politik dan Umno bertegas dengan ketetapan itu.
“Dalam keadaan kedua-dua kaki Umno ‘berpijak di bumi sama’ parti itu tidak akan mengambil sikap seperti lalang ditiup angin,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut berada di atas pentas utama bersama kepimpinan Umno semasa Ahmad Zahid menyampaikan ucapan dasarnya pagi tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Piagam MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya dan belum terlambat untuk kembali ke matlamat asal penubuhannya.
“Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi, pertambahan kerusi.
“Sebagai rakan politik Umno akan terus jujur menterjemah piagam dan persefahaman yang dimeterai dengan PAS,” katanya.
Kenyataan Ahmad Zahid mempunyai kaitan dengan hubungan PAS dan Bersatu memandangkan parti itu adalah sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Semalam, Pemuda Umno mempersoal pendirian PAS berhubung kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu PAS memutuskan pendirian sama ada akan bersama dengan Umno atau sebaliknya.
Susulan itu, Pemuda PAS Selangor membidas kenyataan Asyraf dan mendakwa pengkhianatan terhadap persepakatan antara Umno dan PAS bermula dengan sokongan parti itu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, adalah sangat tidak sesuai apabila Asyraf mengaitkan kisah Khawarij dan Saidina Ali bagi menolak Gagasan Penyatuan Ummah untuk menyatukan Umno, PAS dan Bersatu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/asyraf-wajdi-jangan-poyo-sangat-pemuda-pas/

