Takiyuddin: Menteri pun kena patuh arahan kuarantin

0
2

Dakwaan bahawa Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata
walaupun Khairuddin berstatus menteri namun beliau perlu mengikut proses undang-undang.

Justeru, katanya, perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan atau polis jika ada laporan yang dibuat.

“Kita serahkan hal ini kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan atas tindakan yang dilakukan oleh beliau (Khairuddin) sama ada bersalah atau sebaliknya.

“Seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah…kalau ada kesalahan yang dilakukan bawa ke mahkamah.

“Jika mahkamah jatuh hukum dia bersalah, maka bersalahlah…tak kira rakyat atau pemimpin,” katanya.

Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS didakwa tidak mematuhi kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Turki.

Isu itu menjadi panas dan perdebatan di Dewan Rakyat termasuk juga dalam kalangan netizen di media sosial.

Bagaimanapun, Khairuddin sebelum ini berkata, beliau sudah tiga kali menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu sebaik tiba di negara, 13 hari selepas tiba dan sebelum menghadiri upacara di Istana Negara 17 Ogos lalu.