Ahmad Said saran Umno – PAS bertembung secara mesra di 3 negeri

0
2

UMNO Terengganu menyarankan parti itu dan PAS bertanding ‘secara mesra’ di negeri itu selain Kelantan dan Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Saranan itu dikemukakan Pengerusinya, Datuk Ahmad Said di sebalik kerjasama kedua-dua parti menerusi Muafakat Nasional (MN) yang terjalin sejak 2019.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata persaingan secara sihat perlu bagi memberi peluang kepada rakyat memilih parti mana yang layak menerajui ketiga-tiga negeri.

“Sebab tu MN perlu bertanding secara mesra dan beri ruang kepada rakyat (pilih) siapa yang nak pimpin negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah yang majoritinya orang Melayu,” katanya dalam temubual secara langsung bersama Umno Online hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata bagi negeri-negeri di pantai barat, rundingan boleh dibuat dalam soal pembahagian kerusi bagi mengelak bertembung sesama sendiri, seterusnya memastikan MN menguasai kawasan Melayu.

Katanya lagi, walaupun Umno dan PAS bertanding sesama sendiri di tiga negeri itu, tidak timbul kebimbangan kuasa akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) kerana akhirnya kedua-dua parti masih bekerjasama.

Ketiga-tiga negeri tersebut kini ditadbir kerajaan pimpinan PAS.

Ahmad Said sebelum ini beberapa kali menyatakan Umno Terengganu tidak akan memberi peluang kepada Bersatu mahupun PAS, sebaliknya akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU akan datang.

Beliau menegaskan, tidak berlaku sebarang kerjasama dalam MN bersama PAS di negeri itu, selain tidak menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk membolehkan parti itu mengalah kepada Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here