Syed Saddiq patut terajui pemuda dalam Pejuang, bukan tubuh parti baharu

0
2

Bekas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman sepatutnya menerajui golongan pemuda di dalam parti Pejuang sekiranya beliau ikhlas untuk berjuang di atas prinsip kebenaran secara berkesan.

Perkara itu ditegaskan bekas Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyatakan melalui Pejuang Syed Saddiq boleh mengumpul serta mengerah tenaga anak muda bagi memimpin sayap pemuda.

Sambil menghormati pendirian bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Khairuddin berkata Syed Saddiq berupaya menghimpun sebeberapa ramai anak muda atas platform parti Pejuang.

“Saya rasa beliau sudah mengenali hati budi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz yang amat terbuka dalam menerima, seterusnya menghormati Syed Saddiq memimpin anak muda secara ‘independent’ mengikut acuan tersendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairuddin turut memberitahu Ahli Parlimen Muar itu bahawa bukan mudah untuk menubuhkan sesebuah organisasi baharu khususnya parti politik.

“Untuk berada di bawah bumbung perjuangan yang terbaik adalah melalui platform parti baru yang bakal ditubuhkan oleh Dr Mahathir serta Mukhriz yakni parti Pejuang.

“Walau apa pun pendirian Syed Saddiq, saya ingin merayu agar beliau beri pertimbangan sewajarnya bagi menguatkan kepimpinan Pejuang dan berada dalam platform ini secara terus-menerus,” katanya.

Beliau menambah, sikap mengenang budi seseorang itu sesuatu yang mulia namun kadang kala tidak sepatutnya mengambil jalan tengah untuk mempamerkan sikap berkecuali dalam isu mengenang budi.

Semalam Syed Saddiq memberi bayangan tidak menyertai Pejuang, sebaliknya akan menubuhkan parti baharu berasaskan orang muda pelbagai bangsa.

Syed Saddiq berkata, tidak kira apa yang berlaku beliau sentiasa menghormati dan menyokong Dr Mahathir namun pada masa sama tetap menghormati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawanya ke dunia politik.

“Namun, saya rasa, sudah tiba masanya untuk pemimpin muda yang menyertai Bersatu sebelum ini, yang disingkirkan atau dipecat oleh parti diberi peluang kedua,” katanya.