Aiman Hanif
KERJASAMA antara Umno dan Bersatu bermasalah sejak awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tiada kejujuran dan keikhlasan, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Jelas Ketua Pemuda Umno itu, dalam mana-mana perhubungan ataupun kerjasama perlu ada kejujuran bagi membentuk penyatuan.
“Cuma dalam proses kita bentuk kerajaan sampai hari ini, kita lihat ada sesuatu tak kena dalam perhubungan ini daripada akar umbi sehingga ke atas.
“Dalam mana-mana perhubungan perlu ada kejujuran dan keikhlasan, kalau tidak ada kejujuran dan keikhlasan tidak dapat memastikan nak adanya penyatuan atau pun pemersatuan.
“Umno dengan Bersatu berbeza dengan PAS, walaupun berpuluh tahun bersengketa, PAS tak dilihat sebagai pengkhianat…PAS itu dilihat sebagai seteru,” katanya dalam temubual bersama Malaysiapost.
Umno bekerjasama dengan Bersatu membentuk kerajaan PN pada Mac tahun lalu selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun baru-baru ini Umno membuat ketetapan memutuskan kerjasama parti itu dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Surat mengenai keputusan Umno itu telah dihantar kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.
Dalam pada itu, Asyraf berkata keputusan Umno untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu sehingga PRU-15 adalah pendirian konsisten parti itu.
Katanya, matlamat asal parti itu untuk berada dalam kerajaan PN selama setahun bagi menstabilkan keadaan negara.
Bagaimanapun katanya, pandemik Covid-19 menyebabkan dinamika politik berubah dan Umno membuat ketetapan bahawa PRU-15 perlu diadakan sebaik wabak berkenaan berjaya ditangani.
“Kita bersetuju untuk bentuk kerajaan ini dan kita namakan kerajaan ini kerajaan PN, tetapi kita tak pernah bersetuju untuk jadi komponen.
“Begitu juga kesepakatan Kita dalam Muafakat Nasional (MN) kita telah sepakat dengan PAS bahawa kerajaan ini tak boleh lama.
“Bahkan kita letak garis masa bahawa kita hanya berada dalam kerajaan maksimum setahun,” katanya lagi.- Malaysiapost

