Tiga lagi lokaliti kena PKPD

0
2

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan bermula esok hingga 9 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 178 ujian saringan dan daripada jumlah itu 63 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah
tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan setuju melaksanakan PKPD di Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan, bermula 27 Mac hingga 9 April 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Dalam masa sama, Ismail Sabri berkata PKPD turut dilaksanakan di Kampung Batu Gong dan Kampung Chupak, Daerah Kecil Siburan, Sarawak bagi tempoh sama.

Katanya, sehingga semalam, sejumlah 50 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di Kampung Batu Gong, manakala 338 ujian saringan dilakukan di Kampung Chupak.

“Daripada jumlah itu sebanyak 57 kes positif telah direkodkan, 41 didapati negatif serta 240 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“KKM telah mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here