Nurul Huda Abhar
MANA mungkin sistem pendaftaran automatik yang mahu dilaksanakan secara atas talian, boleh terkesan dengan virus Covid-19, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Menurutnya, ini kerana Covid-19 bukanlah virus komputer atau virus atas talian
Maka, katanya, DPIM berpendapat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai sebab konkrit untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18.
“Bagi had umur diturunkan kepada 18 tahun pula, DPIM berpandangan bahawa kematangan sesorang individu tidak boleh diukur secara pukul rata.
“Parti politik perlu belajar daripada pengalaman Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menerangkan kepada rakyat, terutama anak muda tentang situasi politik tanahair agar mereka tidak ditipu sekali lagi dengan harapan palsu atau fitnah yang tersebar untuk memburukkan kerajaan hari ini.
“Pemimpin politik perlu memainkan peranan ini agar anak muda 18 tahun celik politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Undi 18 telah diluluskan di Parlimen sebulat suara, maka Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semuanya harus menyokong usul tersebut.
Katanya, jika Perlembagaan Persekutuan boleh ditukar dengan undi majoriti dua pertiga, maka seharusnya semua pihak menghormati usul yang telah mendapat undi 100 peratus.
“Jika ini berlaku, membelakangkan Dewan Rakyat bermaksud membelakangkan suara rakyat,”ujarnya.
Terdahulu, SPR dalam kenyataan semalam berkata pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, selepas penilaian semula pelbagai isu dijalankan.
Menurut Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata komited dengan pelaksanaan perkara itu seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya termasuk gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain.
“Bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” katanya. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/25/pendaftaran-pemilih-automatik-dan-undi-18-boleh-dilaksana-september-2022-spr/

