Ismail Sabri nafi ambil sikap diam diri isu libatkan Umno

0
3

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tanggapan sesetengah pihak terhadapnya, konon beliau mengambil sikap berdiam diri dalam isu melibatkan parti adalah tidak benar sama sekali.

Naib Presiden UMNO itu berkata, tanggapan berkenaan tersasar dan jauh merentasi apa yang telah dilakukannya kepada parti selama ini.

Beliau turut berkata, segala tanggapan dan kesimpulan liar pihak tertentu itu adalah asam garam dalam politik.

“Saya sekarang ini umpama kaki kanan berada dalam parti, manakala kaki kiri dalam kerajaan.

“Malah, ketika presiden parti diserang dan dikecam agar meletakkan jawatan, saya antara yang terawal tampil mengeluarkan kenyataan agar diselesaikan secara dalaman.

“Kita ada ruang kita sendiri untuk bersama-sama mengemukakan pandangan. Jangan kita berkelahi di tepi laman kerana ia dilihat oleh orang ramai,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Umno-Online.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, isu dalam parti harus diselesaikan secara dalaman.

Katanya, apabila timbul dua kumpulan yang bertentangan, ia akan menyusahkannya.

“Kalau saya masuk kumpulan ini ataupun kumpulan itu, maknanya saya menambahkan lagi peperangan. Tidak ada kumpulan yang benar atau tidak, apa yang penting saya lebih suka menjadi pendamai.

“Sepertimana saya katakan, saya tidak mahu tengok Umno berpecah. Lebih baik kita tutup atau pun menjadi pendamai untuk menyelesaikan isu yang timbul dan elakkan ianya menjadi lebih parah,” katanya.

Beliau menegaskan, imej yang dibawa dalam kabinet kerajaan hari ini adalah dirinya sebagai menteri daripada Umno, termasuk beberapa menteri lain dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Jelasnya, tugas beliau untuk menjaga keselamatan serta kedaulatan negara selaku Menteri Pertahanan mempunyai dua ancaman yang perlu diatasinya.

“Yang saya nak tegaskan ialah ancaman sentiasa ada. Jadi, ini merupakan satu tugas berat yang tidak boleh dikompromi, iaitu isu berkaitan keselamatan rakyat, mana mungkin boleh kompromi.

“Pada masa sama saya juga diberikan tugas menjaga nyawa rakyat. Wabak Covid-19 ini pada peringkat awal dahulu semua orang takut. Tidak tahu apa benda punca dan ubat tidak tahu macam mana.

“Orang masih takut sebab ia adalah musuh yang tidak nampak. maka tugas diberi kepada saya, akan saya jalankan tanggungjawab dan amanah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tumpuan perlu diberikan pada sidang media khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mesyuarat khas berkaitan yang diadakan setiap hari.

“Orang Umno seharusnya bangga kerana sekurang-kurangnya setiap hari ‘muka Umno’ ini keluar televisyen. Dahi saya adalah cop Umno. Naib Presiden ke, Majlis Kerja Tertinggi ke, tidak kisahlah, tetapi saya dilihat sebagai menteri daripada Umno.

“Apa yang saya buat itu juga boleh memberikan imej yang baik kepada Umno,” katanya lagi.

Beliau berkata, walaupun dirinya tidak kerap tampil memberi kenyataan berkenaan Umno, namun imej parti itu sentiasa bersamanya setiap hari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here