Nurul Huda Abhar
AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan rasa kecewa atas pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan perlaksanaan Undi 18 yang telah ditangguh sehingga 1 September 2022.
Menerusi kenyataan di laman Facebook, Syed Saddiq berkata alasan yang digunakan untuk menangguhkan Undi 18 sehingga 14 bulan sesungguhnya tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu berkenaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menjejaskan persiapan SPR untuk Undi 18.
“Sejak 16 Julai 2019 sebaik sahaja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan, SPR seharusnya sudah mempunyai masa yang cukup untuk persiapan Undi 18.
“Pada 3 November 2020, Menteri Datuk Takiyuddin Hassan telah menyatakan bahawa penguatkuasaan Undi 18 adalah selewat-lewatnya pada Julai 2021,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Syed Saddiq berkata, PKP tidak boleh menjadi alasan atas sikap culas SPR dalam melaksanakan Undi 18.
Malah, ujarnya SPR seharusnya berterus terang dan memaklumkan kepada rakyat apakah yang masih menghalang UNDI 18 untuk terus dilaksanakan.
“Hormati keputusan Dewan Rakyat. Hormati hak orang muda untuk mengundi dan memilih masa hadapan negara.
“Kerajaan juga perlu suarakan komitmen untuk melaksanakan Undi 18 selewat-lewatnya pada Julai 2021,” ujarnya lagi.
Terdahulu, SPR dalam kenyataan hari ini berkata pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, selepas penilaian semula pelbagai isu dijalankan.
Menurut Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata komited dengan pelaksanaan perkara itu seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya termasuk gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain.
“Walaubagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” katanya. – Malaysiapost

