Kalimah Allah: MAIS mohon jadi pencelah

0
2

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan sebagai pihak pencelah (intervener) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata MAIS menjunjung titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di negeri itu.

Tegasnya, MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah merupakan suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang lslam.

Justeru, katanya, kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain selain lslam.

“Adalah menjadi tanggungjawab MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung pentadbiran agama lslam di dalam Selangor, selepas Sultan Selangor, untuk memelihara dan menjaga kesucian agama lslam termasuk menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah tersebut jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang lslam.

“MAIS menegaskan bahawa di bawah seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan lslam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang lslam, 1988), mana-mana orang bukan lslam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan lslam di dalam Negeri Selangor adalah merupakan suatu kesalahan.

“Malah, fatwa diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan lslam yang lain dan wajib bagi orang lslam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah Allah tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Abdul Aziz berkata, sehubungan itu MAlS menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan lslam dalam penerbitan agama Kristian kerana ia boleh membuka ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebar atau mengembangkan agama bukan lslam kepada orang lslam khususnya di Selangor.

“MAIS menyokong penuh tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak
Kerajaan Malaysia untuk merayu keputusan tersebut,” katanya lagi.

Kelmarin, Sultan Selangor menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah, tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi pendirian baginda bahawa kalimah Allah ialah kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Titah baginda, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

Namun demikian titah baginda, sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, tiada halangan atas penggunaan perkataan “Tuhan” tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here