PERTEMUAN serampang tiga mata telah diadakan melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Umno-Online, pertemuan tiga pemimpin paling berpengaruh dalam Umno itu difahamkan untuk membincangkan kedudukan dan hala tuju parti itu serta senario ekonomi negara ketika ini.
Pastinya, perkara yang dibincang itu berkait rapat dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang menjadi tumpuan kerana parti itu dijangka akan mengumumkan secara rasmi untuk memutuskan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Antara perkara yang dibincangkan ialah sejauh mana Umno mendengar suara akar umbi dan memutuskannya tanpa sebarang kompromi.
Selain itu, menurut Umno-Online, perbincangan juga berkaitan senario semasa Muafakat Nasional (MN) selain menjadikan PAU sebagai medan memperkukuhkan kekuatan Umno untuk terus maju ke hadapan.
Turut menjadi perbincangan adalah kedudukan ekonomi negara terutamanya berkaitan hutang negara yang melebihi 60 peratus daripada KDNK. Nisbah hutang negara kepada KDNK sudah naik ke 62.2 peratus ada akhir tahun 2020. – Malaysiapost


Much ado about nothing