Rayhan Kabir diusir ke Bangladesh malam ini

0
3

Fitri Nizam

Warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang membuat kritikan tidak berasas terhadap kerajaan dalam sebuah dokumentari yang disiarkan Al-Jazeera akan diusir pulang ke negara asalnya malam ini.

Menurut sumber Jabatan Imigresen, warga Bagladesh itu akan diusir pulang dengan menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Md Rayhan dijangka dibawa ke KLIA pada jam 9 malam sebelum menaiki penerbangan pulang ke Bangladesh.

“Untuk makluman. Warga Bangladesh MD Rayhan Kabir akan diusir ke negara asal Bangladesh pada malam ini dengan menaiki penerbangan di KLIA.

“Pasukan pengusiran yang membawa Orang Kena Tuduh (OKT) ialah jam 9 malam di KLIA,” katanya.

Sebelum ini, Peguambela Rayhan, K Sumitha Shaanthinni dan C Selvaraja memaklumkan bahawa lelaki itu akan dihantar balik tanpa sebarang pendakwaan.

“Dia akan dihantar pulang sebaik keputusan saringan Covid-19 selesai dan tiket penerbangan sudah disediakan, katanya.

Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ dan Rayhan dikatakan mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendalikan kes Covid-19 membabitkan warga asing.

Kritikan yang tidak berasas itu menyebabkan Rayhan diburu pihak berkuasa Malaysia.

Bagaimanapun, Rayhan ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, 24 Julai lalu.