RM52.48 billion pengeluaran i-Sinar diluluskan

0
3

PENGELUARAN simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diluluskan melalui program i-Sinar adalah sebanyak RM52.48 bilion membabitkan 5.94 juta pemohon.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM32.74 bilion sudah pun dikreditkan kepada pemohon.

“Mulai 8 Mac 2021, kelayakan permohonan kemudahan i-Sinar ditambah baik bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

“Setakat 14 Mac 2021, pengeluaran sebanyak RM52.48 bilion sudah diluluskan yang membabitkan seramai 5.94 juta pemohon,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-46 secara maya, di Putrajaya hari ini.

KWSP sebelum ini memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu membolehkan ahli KWSP yang berusia bawah 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki.

Permohonan baharu kemudahan i-Sinar tanpa syarat dibuka mulai 8 Mac lalu bagi semua ahli KWSP.

Tengku Zafrul berkata, bagi Skim i-Lestari di bawah KWSP setakat 12 Mac lalu pula, jumlah pengeluaran kumulatif adalah sebanyak RM19.45 bilion membabitkan 5.23 juta penerima, berbanding RM18.58 bilion membabitkan 5.18 juta penerima pada minggu sebelumnya.

“Perancangan persaraan adalah penting dan orang ramai disyorkan untuk menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) yang disediakan oleh pihak KWSP secara percuma untuk tujuan ini.

“Maklumat mengenai perkhidmatan percuma ini boleh didapati di pautan berikut, https://www.kwsp.gov.my/ms/member/retirement-advisory-service,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here