PRN Sabah: Star enggan serah balik Tambunan kepada PBS

0
3

Awang Abdullah

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) tidak berhasrat menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ketua Bahagian Star Tambunan, Patrick Paunil, menjelaskan parti itu tetap dengan pendirian untuk mempertahankan kerusi itu walaupun ada rakan parti Perikatan Nasional (PN) mahu menuntutnya.

“Kerusi DUN Tambunan yang dimenangi Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada PRU14 akan dipertahankan walaupun ada desas-desus yang tidak sihat.

“Tidak dinafikan ada parti mendakwa kerusi itu patut dipulangkan atas sebab ia bermula dari Tambunan.

“Ini sesuatu yang kurang wajar apabila dilihat senario politik berubah, rakyat juga akan beralih arah atau turut berubah,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun tidak menyebut parti yang menuntut kerusi itu, ia merujuk kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) kerana sebelum ini bekas Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyatakan harapannya agar PBS mengambil semula kerusi berkenaan.

Pairin yang menyandang kerusi itu selama 42 tahun dari 1976 hingga 2018, berkata ini kerana Tambunan sangat bermakna dalam perjuangan PBS memandangkan ia bermula dari kawasan berkenaan.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau menewaskan Pairin yang juga abangnya dengan majoriti 1,037 undi selepas memperolehi 6,136 undi berbanding 5,099 undi diperolehi Pairin pada PRU14.

Patrick berkata, kepemimpinan dan ahli Star Tambunan yang diketuainya masih mahu Jeffrey sebagai wakil rakyat untuk menyuarakan keperluan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Jawatankuasa bahagian dan seluruh ahli Star Tambunan akan terus menyokong presiden bagi membawa dan membangunkan Tambunan ke arah kecemerlangan masa depan penduduk daerah ini,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi PRN, beliau berkata pihaknya sedang menyusun jentera di setiap daerah mengundi bagi memastikan Tambunan dapat dipertahankan.