MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini menegaskan hutang kerajaan masih di bawah had statutori mengikut undang-undang, di sebalik dakwaan ia telah mencecah 62 peratus pada hujung tahun lalu.
Tengku Zafrul berkata had statutori 60 peratus yang selalu disebut-sebut adalah had statutori untuk instrumen hutang yang diterbitkan kerajaan, iaitu instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).
Jelasnya, hutang bagi tiga instrumen terbitan kerajaan itu pada akhir Disember 2020 adalah 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya lagi, pada akhir Februari 2021, jumlah hutang itu adalah 54 peratus KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada akhir tahun ini. ⠀
⠀
Beliau menjelaskan instrumen hutang lain pula mempunyai had statutori lain iaitu;⠀
a) RM35 bilion untuk pinjaman luar negeri; dan⠀
b) RM10 bilion untuk hutang Bil Perbendaharaan Malaysia. ⠀
⠀
Sehubungan itu beliau berkata jumlah hutang kerajaan untuk dua instrumen di atas masih di bawah had statutori. ⠀
⠀
“Apabila ada pihak merujuk kepada hutang negara mencecah 62 peratus pada hujung 2020, ia sebenarnya rangkuman semua hutang di atas.
“Tapi seperti yang saya jelaskan, setiap komponen ada had hutangnya sendiri dan ia tidak pernah melepasi had hutang mengikut undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, keutamaan kerajaan kini adalah membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19 yang mana dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu menyeimbangkan antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara. ⠀
⠀
Namun, katanya, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat.
“Ekoran itu, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk dengan menyuntik RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej stimulus.
“Ia menaikkan hutang tanpa melepasi had statutori seperti yang telah dijelaskan di atas. ⠀
⠀
“Pada masa sama, Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa.
“Tanpa keyakinan mereka, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya pewujudan pekerjaan dan peluang perniagaan,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, dalam soal hutang legasi yang buruk, ia adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini.⠀
Jelasnya lagi, ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang yang buruk tinggalan pentadbiran terdahulu.⠀
⠀
“Walaupun hutang ini bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan.
“Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan. Ini bukan alasan kerajaan untuk tidak berbelanja untuk rakyat.
⠀
“Saya harap ini dapat menjawab soalan beberapa pihak. Namun bagi rakyat umumnya, jangan putus harapan. Program vaksinasi hari ini telah memberi harapan bahawa cabaran yang dibawa Covid-19 ada penghujungnya,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa tindakan kerajaan menaikkan nisbah hutang negara kepada 62% adalah menyalahi undang-undang kerana melanggar had diluluskan Parlimen.
Najib berkata sememangnya tidak salah untuk kerajaan meminjam bagi memberi bantuan kepada rakyat ketika pandemik.
Namun, katanya hutang kerajaan telah mencecah had 60% yang dinaikkan sendiri setelah nisbah hutang sebenar naik ke 62.2% pada akhir tahun 2020. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/12/16/hutang-negara-masih-pada-had-dibenarkan-tengku-zafrul/

