SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak bertanggungjawab dan gagal melakukan tugasnya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Kata Guan Eng, ini berikutan Takiyuddin menolak permintaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diadakan untuk menyiasat pendedahan mengejutkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Abdul Hamid telah mendedahkan kartel pegawai yang korup dalam pasukan polis, sehingga melibatkan seorang bekas Ketua Polis Negara yang menerima wang suapan daripada sindiket jenayah.
“Bagaimana skandal ini dapat ditangani secara dalaman oleh Suruhanjaya Pasukan Polis, ketika ia dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri dan anggota ketika tindakan jenayah tersebut didakwa berlaku.
“Ini bukan lagi masalah dalaman apabila seorang mantan Ketua Polis Negara turut terpalit sehingga menerima wang suapan daripada sindiket jenayah.
“Hanya RCI yang dapat membersihkan pasukan polis dari unsur korup dan menyelamatkan reputasi majoriti pegawai dan anggota polis yang tidak terlibat dalam kegiatan jahat tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Guan Eng mendakwa jika RCI tidak ditubuhkan, jelas bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak serius dalam memerangi korupsi dan jenayah.
Rakyat Malaysia katanya, mahukan siasatan awam terbuka, bukan siasatan dalaman di mana kerisauan orang ramai tidak dapat diredakan.
“Sebarang kegagalan menubuhkan RCI untuk mengatasi masalah serius yang menimpa pasukan polis ini, hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat dan hilangnya keyakinan terhadap profesionalisme, integriti, kebebasan dan kemampuan pasukan polis untuk memerangi jenayah.
“Ini akan menjadi ujian terbesar bagi komitmen kerajaan PN untuk memerangi rasuah dan jenayah,” katanya.
Baru-baru ini, Abdul Hamid dilaporkan berkata sekumpulan polis muda membentuk kartel untuk untuk mendominasi pasukan itu bagi menjatuhkannya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahannya sebelum ini bahawa segelintir pegawai kanan di peringkat pertengahan juga terlibat dengan kartel.
Jelas Abdul Hamid, kartel itu akan memastikan rakan subahat mereka dinaikkan pangkat seterusnya mendominasi pucuk pimpinan tertinggi polis pada masa depan.
Kelmarin Takiyuddin dilaporkan berkata tiada keperluan untuk menubuhkan RCI) bagi menyiasat dakwaan Abdul Hamid kerana perkara itu boleh diselesaikan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). – Malaysiapost

