BENDAHARI Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu Perhimpuan Agung Umno (PAU) menjadi saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dan hala tuju parti itu.
Justeru, beliau meminta semua pihak berhenti daripada mempertahkan apa-apa kenyataan bercanggah daripada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno atas apa juga alasan termasuk bersifat peribadi.
“Semua pihak tahu bahawa Perhimpunan Agung Umno adalah medan untuk akar umbi bersuara, dari cawangan dibawa ke bahagian dan diangkat dalam persidangan Umno. Maka nanti bersuaralah, berbicaralah dan jurucakap laksanakanlah tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh akar umbi.
“Sekarang ini tak perlulah pertahankan apa-apa kenyataan yang bercanggah dari keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno atas apa juga alasan walaupun bersifat peribadi,” katanya menerusi Facebook.
Tengku Adnan berkata, tindakan itu tidak mendatangkan kebaikan sebaliknya hanya mengundang kemudaratan terhadap parti.
“Tunggulah saja nanti Perhimpunan Agung Umno yang bakal buat keputusan tentang hala tuju parti, kemudian hormatilah suara konsensus untuk pastikan sama-sama mendukung keputusan yang telah dibuat.
“Jika gagal hormati institusi dan organisasi maka Umno akan hancur dari dalam kerana sekarang ini seakan ada yang cuba merobek acuan parti untuk perlihatkan kononnya Umno tiada lagi sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, walaupun Umno kini menjadi sebahagian daripada kerajaan, namun peristiwa kerajaan 22 bulan jangan dilupakan.
“Sebaliknya jadikanlah pengajaran. Keperitan rakyat 22 bulan adalah realiti dan bukti sebenar bahawa Umno amat penting untuk kembali dinobatkansebagai penaung kepada rakyat.
“Bukan hanya ahli Umno tapi manfaat untuk semua warga Malaysia sebagaimana yang pernah dilaksana dalam kerajaan BN – Kata Dikota, Janji Dilaksana,” katanya.
Justeru, Umno mesti terus dipelihara dan hala tuju parti mesti jelas dan perjuangannya mesti dihayati untuk diaplikasikan.
“Maka Perhimpunan Agung Umno 2020 adalah manifestasi kepada arah dan masa hadapan parti. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat – Umno Dulu, Kini, Selamanya,” katanya. – Malaysiapost

