PERBUATAN menafikan mereka yang telah dipiilih sebagai jurucakap di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 adalah tidak bijak, kata Tan Sri Annuar Musa.
Bekas Setiusaha Agung Umno itu, berkata tindakan itu seolah-olah menampakkan parti berkenaan terlalu takut kepada suara dari bawah.
“Keputusan menukar jurucakap kepada Pengerusi BPUN (Badan Perhubungan Umno Negeri ) sangatlah tidak kena,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Justeru, beliau menyatakan tiga sebab mengapa keputusan itu dianggap tidak bijak antaranya termasuklah isu untuk meluluskan ucapan dasar presiden.
“Usul meluluskan ucapan dasar Presiden adalah usul dari MKT,bagaimana nak di bahas oleh MKT sendiri?
“Selain itu, Pengerusi BPUN adalah lantikan presiden,sudah tentu mereka tidak boleh bercakap menegur atau memberi pendapat yang berbeza dgn Presiden.
“Ketiga, tindakan memberi kuasa bercakap dalam PAU hanya kepada ahli biro politik,merendahkan martabat PAU itu sendiri, dimana ia sepatutnya menjadi medan mendengar suara akar umbi,” katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sekiranya tindakan itu diteruskan maka terbuktilah bahawa Umno tidak menghormati kebebasan bersuara.
“Sekiranya ini di teruskan, maka terbuktilah bahawa parti kita tidak menghormati kebebasan bersuara,menafikan hak akar umbi, dan bakal dituduh PAU di manipulasi pihak tertentu
“Istimewanya PAU adalah ia medan ahli menyampaikan pandangan,” katanya.
Annuar berkata, sepanjang beliau dipilih menjadi perwakilan PAU sejak 1982 ini adalah kali pertama wakil dipilih sebagai jurucakap dinafikan haknya.
“Saya menjadi ahli perwakilan ke PAU berkali kali sejak 1982 (39 tahun berturut turut).
“Inilah kali pertama wakil yg telah di pilih sbg jurucakap di nafikan peluang mereka dan peranan mereka di ganti dgn pengerusi BPUN yg merupakan ahli biro politik dan ahli MKT,” katanya.
Sebelum ini, Annuar mendakwa timbul isu bahawa jurucakap bagi setiap perhubungan negeri yang telah dipilih sebelum ini, diarah ditukar.
Mendedahkan perkara itu, Annuar mendakwa pertukaran itu semasa-mata kerana dikhuatiri mereka tidak akan berucap mengikut kemahuan pihak tertentu.
“Beberapa negeri mengadu senarai jurucakap negeri yg telah dipilih diarah supaya ditukar, semata mata kerana di khuatiri mereka tidak akan berucap mengikut ‘skrip’ dan ‘lagu’ yang di mahukan pihak tertentu.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/19/annuar-dakwa-jurucakap-pau-ditukar/

