Bawa pandangan ke meja rundingan, bukan debat terbuka

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

Dewan Pemuda PAS meminta semua pimpinan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) membawa pandangan ke meja rundingan tanpa perlu berdebat secara terbuka.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan itu tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat bahkan semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan.

Katanya, keputusan dalaman yang dibincangkan di peringkat tertinggi mestilah secara telus diterangkan dengan baik dan positif kepada rakyat, bukannya hanya bersifat kepentingan peribadi.

“Jika semua pihak lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda PAS mencadangkan tidak perlu lagi diadakan rundingan dan semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS meneliti dengan serius perkembangan antara parti dalam kerajaan PN, terutama beberapa siri kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu penggunaan bendera BN, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) dan pendaftaran PN.

“Pemuda PAS berpandangan PN mahupun MN ialah manifestasi daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sehingga membawa kepada jatuhnya kerajaan PH pada Februari lalu,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, susulan itu Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan terlantiknya Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk menyelamatkan situasi pada masa itu.

Katanya, rakyat hakikatnya cukup berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin.

“Ditambah dengan suasana pandemik Covid-19, kita yakin rakyat tidak mahu dihidangkan dengan cerita politik yang tidak boleh diterjemahkan menjadi hidangan untuk mereka sekeluarga di atas meja.

“Dengan isu pekerja kehilangan mata pencarian hari ini, pertumbuhan ekonomi yang membimbangkan dan pelbagai isu, sangat tidak sesuai rakyat dihidangkan dengan pertembungan antara parti yang sama-sama mendokong kerajaan di bawah Muhyiddin,” katanya.