Usir diplomat Korea Utara: Bagi lindungi kedaulatan negara

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN hari ini mengusir semua diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur sejajar dengan keputusan dan arahan kerajaan untuk mereka meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam bermula Jumaat lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, pengusiran tersebut telah dilaksanakan selaras dengan Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

“Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan ini sebagai tindak balas terhadap keputusan unilateral dan sama sekali tidak bertanggungjawab oleh negara itu untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Tindakan ini adalah perlu bagi melindungi kedaulatan Malaysia dan mempertahankan kepentingannya.

“Tindakan ini akan menjadi peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan untuk mencampuri urusan dalaman dan sistem kehakimannya, mencemarkan sistem tadbir urus dan sentiasa ingin mewujudkan ketegangan dengan melanggar undang-undang antarabangsa,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Wisma Putra menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan ia susulan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia berikutan seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan itu, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.

Terdahulu, Korea Utara mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Menurut Kementerian Luar di Pyongyang, ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke AS, awal bulan ini.

Kementerian itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here