Kedah, Perak, Negeri Sembilan catat jangkitan rentas negeri tertinggi

0
2
dr. hisham

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sejak 1 Januari lalu hingga hari ini terdapat sebanyak 3,170 kes rentas negeri (Import B) dicatatkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes Import B merujuk kepada kes-kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di sesebuah negeri namun dipercayai berpunca dari negeri lain akibat daripada aktiviti rentas negeri.

Beliau berkata, tiga negeri yang menunjukkan atau melaporkan bilangan kes Import B tertinggi adalah Kedah iaitu sebanyak 714 kes (22.5 peratus), Perak dengan 582 kes (18.4 peratus) dan Negeri Sembilan pula 370 kes (11.7 peratus).

“Kluster-kluster rentas negeri turut menunjukkan peningkatan sejak gelombang ketiga bermula iaitu pada 20 September 2020. Kluster rentas negeri merupakan kluster yang melibatkan kes indeks atau kes pertama yang dikesan mendapat jangkitan Covid-19 dari negeri lain dan seterusnya mengakibatkan penularan jangkitan tempatan.

“Berikutan peningkatan kluster-kluster rentas negeri ini, Kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri bermula pada 13 Januari lalu.

“Setelah larangan tersebut dilaksanakan selama beberapa bulan, pelaporan kes-kes baharu harian negara yang melibatkan kluster-kluster rentas negeri mula menunjukkan penurunan secara konsisten,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster terakhir yang dilaporkan sebagai kluster rentas negeri adalah pada 30 Januari 2021 iaitu Kluster Tersat di Terengganu.

Menurut beliau, kes dan kluster rentas negeri bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung halaman juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti golongan warga emas dan kanak-kanak.

“KKM ingin mengingatkan semua pihak dan masyarakat umum, walaupun negara sedang menunjukkan tren penurunan kes sejak beberapa minggu ini, rakyat perlu sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dalam semua keadaan bagi memastikan usaha-usaha yang telah dijalankan tidak menjadi sia-sia.

“Ini termasuklah kepatuhan terhadap larangan merentas negeri kecuali jika ada perkara-perkara mustahak dan perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bagi negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri adalah dibenarkan melalui Program Gelembung Pelancongan Domestik atau Travel Bubble yang membolehkan pelancong dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bergerak merentas ke negeri di bawah PKPP yang lain.

Jelasnya, aktiviti tersebut tertakluk kepada SOP yang ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Selain itu, rakyat perlulah mengamalkan tindakan pencegahan sebagai norma baharu kehidupan seperti yang telah disarankan oleh KKM seperti penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri dan memakai pelitup muka di tempat awam.

“Semoga dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia dan tindakan kesihatan awam yang sedang dijalankan, Malaysia dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan bebas daripada pandemik ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here