PKP di Keningau, Sabah mulai esok

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Keningau, Sabah bermula 22 Mac hingga 4 April 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif harian secara mendadak di daerah itu dengan sebanyak 42 kes telah direkodkan hasil saringan secara bersasar di Kampung Lingkudau yang juga telah dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD).

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di Keningau bermula 22 Mac hingga 4 April ini.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar serta mengesan beberapa lagi kontak rapat dan mengawal pergerakan penduduk di daerah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah yang dijadualkan tamat pada 22 Mac 2021.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini KKM telah melaksanakan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif telah direkodkan.

Katanya, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Tanah Merah itu pada 22 Mac ini (esok) seperti yang dijadualkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here