Benarkan Parlimen bersidang dengan alasan ‘sains dan data’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah tiba masanya persidangan Parlimen dibenarkan, sekali gus amalan demokrasi itu dipulihkan kembali dengan alasan ‘sains dan data’.

Beliau berkata, sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuatkuasa.

Namun katanya, sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat.

“Pertama, fungsi Parlimen masih dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain.

“Kedua, ramai Ahli Parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kebangsaan bermula.

“Ketiga, kebanyakan aktiviti lain termasuk persekolahan sudah dibenarkan beroperasi, maka tiada sebab Parlimen terus ditutup,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah sebab lain Parlimen patut dibenarkan bersidang apabila Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menberitahu di Facebook yang beliau telah lari sekeliling Parlimen sampai ‘ketaq’ lutut kelmarin.

“Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu kata dia lakukan gimik untuk acara ‘Parliament Virtual Run 2021’.

“Ini bermaksud Parlimen adalah kawasan yang selamat dan akan tetap selamat apabila semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Ahmad Zahid berkata fungsi Parlimen sebagai proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara terus tergantung dengan alasan ‘sains dan data’.

Perlu diingatkan, katanya, Parlimen mempunyai kedudukan paling utama dalam sistem demokrasi.

“Parlimen adalah forum untuk rakyat menyuarakan permasalahan melalui wakil mereka yang dipilih dalam pilihan raya.

“Merupakan badan perundangan Persekutuan yang memeriksa dasar-dasar kerajaan demi kepentingan negara.

“Menjaga dasar pengasingan kuasa Eksekutif, Legislatif dan Judisiari bagi mengelak penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here