Jika benar jujur, sudah lama TPM diberi kepada Umno – Puad

0
2
puad zarkashi

“KALAU untuk tawar menawar supaya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membatalkan keputusan untuk menolak kerjasama dengan PPBM di PRU15, sila meninggal (jangan harap),” kata Ahli MKT Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. 

Beliau merujuk mengenai surat daripada Umno Bahagian Ketereh kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan empat pendirian termasuk mahu lantikan segera seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN). 

Puad mendakwa sebelum ini Annuar menyarankan supaya jangan minta jawatan dalam kerajaan kerana tidak mahu Umno dituduh kemaruk jawatan. 

“Itu prerogatif dia. Nanti Umno dituduh kemaruk jawatan. Sekarang tuntut segera. Sudah tentu Umno akan terpalit dengan hinaan ‘hidung tak mancung, pipì tersorong sorong’. 

“Dalam surat Umno Bahagian Ketereh bertarikh 19.3.2021 yang viral semalam, Annuar minta PM lantik segera TPM dari kalangan pemimpin BN.

“Siapa dia? Sudah tentu Zahid bukan dalam senarai Annuar. Apakah untuk orang tertentu yang bersekongkol dengannya atau untuk dirinya sendiri?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini. 

Dakwanya, jika benar Perdana Menteri jujur, sudah lama jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi kepada Umno.

Beliau turut mempersoalkan agenda Annuar dalam membangkitkan isu jawatan berkenaan sekarang. 

“Umno tidak perlu lagi memikirkannya. Umno seperti tegas Presiden, perlu meletak ‘titik noktah’ dalam isu jawatan TPM.

“Di zaman beli-membeli dan mengugut MP (Ahli Parlimen) supaya melompat parti ini, jangan pula Umno dituduh mahu menggadai parti semata-mata kerana jawatan TPM,” tegasnya. 

Malaysiapost semalam melaporkan Umno Ketereh menyatakan pendirian akan terus mengekalkan muafakat sesama parti politik Melayu dan mengukuhkan lagi perpaduan ummah. 

Pendirian itu dinyatakan Ketua Umno bahagiannya, Tan Sri Annuar Musa melalui surat kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khamis lalu. 

Surat berkenaan turut dimuatnaik di laman Facebooknya semalam. 

Terdapat empat pendirian Umno Ketereh yang disenaraikan iaitu terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) – BN – GPS (Sarawak) – GRS (Sabah). 

Ketetapan lain adalah mengesyorkan BN dan PN segera memulakan rundingan kerusi dan segera melantik seorang TPM dalam kalangan pemimpin BN. 

Pendirian terakhir adalah terus fokus dan menberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik, memerangi Covid-19, membela rakyat serta memulihkan ekonomi negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here