Umno guna media sosial bangkit isu rakyat – Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

MEDIA sosial menjadi antara saluran Umno dalam usaha menyampaikan mesej rakyat kepada kerajaan secara lebih jelas, terutama ketika Parlimen digantung, kata Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.  
Beliau berkata, terdapat pihak yang mempersoalkan tindakan Umno mengkritik dasar-dasar kerajaan sedia ada secara terbuka di media sosial sedangkan Umno sebahagian daripada kerajaan.  
“Pasukan propaganda mereka terus bermain dengan naratif Umno tidak sepatutnya mempersoalkan dasar-dasar kerajaan sedia ada secara terbuka di media sosial. 
“Dengan alasan terdapat Ahli Parlimen Umno sedang menyertai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk sebagai anggota Kabinet. Boleh beritahu sahaja kepada mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.  
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sudah banyak kali perkara berkenaan diperjelaskan sama ada yang terus mempertikaikannya masih tidak tahu atau buat-buat tidak tahu.  
“Pertama, kerajaan yang mentadbir negara hari ini adalah kerajaan PN, bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Muafakat Nasional (MN). 
“Kedua, Umno bukan sebahagian kerajaan PN. Umno cuma menyokong pembentukan kerajaan PN. 
“Ketiga, media sosial antara platform Umno untuk menyuarakan permasalahan rakyat dan negara terutama pada waktu Parlimen terus digantung,” katanya.  
Beliau berkata, berdasarkan tiga perkara itu, bukanlah menjadi suatu kesalahan atau halangan untuk Umno terus membangkitkan isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara. 
“Benar segelintir Ahli Parlimen Umno menganggotai kerajaan PN, namun saya percaya mereka tidak boleh membuat keputusan atau dasar secara individu. 
“Walaupun mereka maklum apa-apa isu dibangkitkan Umno, sebarang ketetapan masih perlu dibuat melalui kerajaan PN yang didominasi pimpinan parti lain. 
“Justeru, media sosial sebagai saluran Umno yang seterusnya dalam usaha menyampaikan mesej rakyat kepada kerajaan secara lebih jelas – ‘direct sound’,” katanya.  
Katanya lagi, menjadi tanggungjawab Umno parti mengetengahkan segala isu yang memanfaatkan rakyat dan negara. 
“Kesimpulannya, Umno bukanlah lagi pembuat dasar seperti sebelum PRU14. Jika BN masih mentadbir negara, Umno boleh terus mengambil tindakan seeloknya. 
“Insya-Allah, apabila rakyat kembali beri kepercayaan kepada Umno/BN mentadbir negara pada PRU15, yang baik kita jadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan. Kita sama-sama belajar daripada pengalaman,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here