Umno Perlis boleh pakai lambang PN – Shahrir

0
3

UMNO Perlis sudah boleh berkira-kira untuk mengibarkan bendera Perikatan Nasional (PN) pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Perkara itu telah digambarkan oleh veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad susulan tindakan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kekal dengan pendirian untuk bekerjasama dengan PN.

“Pendirian Shahidan dan Umno Perlis akan bersama PN, tidak dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini akan membuka satu senario baru.

“Maknanya, Shahidan dan gengnya dari Umno Perlis akan bertanding sebagai calon PN dan guna lambang PN. Agaknya, PAS Perlis pun akan ikut sama bertanding tanpa logo PAS?,” katanya yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini.

Shahrir bagaimanapun, tidak menyebut tindakan Shahidan dan kumpulannya itu bakal menyebabkan mereka dipecat parti, sebaliknya beliau menyeru ahli Umno Perlis yang tidak sehaluan dengan pengerusinya bersiap sedia menjadi calon BN di negeri itu pada PRU15 ini.

“Sebaliknya, calon-calon Umno yang tidak ikut Shahidan akan pula bertanding sebagai calon BN dan guna lambang BN. Ia akan jadi tiga penjuru,” katanya.

Terdahulu, hari ini Umno Perlis bertekad untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya parti itu kekal dengan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Bersatu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, akhir bulan ini.

Shahidan berkata, beliau tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap UMNO Perlis di bawah pimpinannya.

“Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buanglah,” katanya dalam satu program temu bual isu semasa, Talk Now terbitan MalaysiaNow.

Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau turut mempersoalkan seruan pemimpin UMNO agar PAS meninggalkan Bersatu, sedangkan katanya, parti Islam itu sudah bersama-sama dalam PN.

“PAS berdaftar dengan PN. Ini bererti kalau kita mahu PAS, ia mesti syaratkan kita bersama Bersatu.
“Kalau kita nak Bersatu, kita tak nak PAS, tak boleh. Sebab PAS dalam PN. Bagi kami, biarlah berlaku perundingan supaya di mana BN, PN tidak bertanding. Di mana PN bertanding, BN tidak bertanding. Kita nak rundingan itu saja,” katanya. – MalaysiaPost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here