Kalimah Allah: Peranan mahkamah tegakkan keadilan

0
2

MAHKAMAH perlu memainkan peranan yang telus dan saksama berlandaskan undang-undang agar matlamat keadilan dapat dicapai.

Dalam Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak bertajuk ‘Peranan Mahkamah Menegakkan Keadilan’ menjelaskan keadilan menurut kaca mata Islam memberi pengertian luas lagi mendalam.

Setiap orang dituntut untuk menegakkan keadilan di muka bumi ini. Berlaku adil ditekankan dalam Al-Quran, disebut sebanyak 28 kali, mencakupi urusan kehidupan, hari kebangkitan, kenabian dan kepimpinan. Perkataan yang hampir maksud dengan adil disebut dalam Al-Quran dengan perkataan Al-Qist, Al-Mizan seperti mana firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 135:

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Dalam urusan pemerintahan dan kepimpinan, bersikap adil ialah satu kewajipan. Dalam sesebuah negara tanggungjawab melaksanakan keadilan terletak di bahu ketua, sama ada raja, pemimpin dan juga hakim.

Mahkamah merupakan sebahagian daripada cabang kerajaan. Mahkamah berperanan utama untuk menegakkan keadilan dan mencegah daripada berlakunya kezaliman.

Imam Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniyyah menyenaraikan sepuluh peranan dan bidang kuasa mahkamah dalam memenuhi tanggungjawab melaksanakan keadilan:

Pertama: Memutuskan perbalahan sama ada berdamai dengan kerelaan atau dengan paksaan apabila dirasakan perkara itu patut dilakukan.

Kedua: Mengembalikan hak kepada yang berhak, berdasarkan keterangan dan pengakuan.

Ketiga: Mentadbir harta bagi orang yang tidak layak mentadbir hartanya sendiri seperti anak yatim, kanak-kanak, orang gila dan orang yang berhalangan mentadbir hartanya.

Mengawasi harta wakaf.

Selain itu, mahkamah juga berperanan melakukan semak dan imbang ke atas keputusan atau tindakan yang dilaksanakan oleh badan-badan lain.

Kebebasan sebuah badan kehakiman merupakan satu tuntutan yang disebut oleh para ulama sebagai ‘Istiqlal Al-Qadhi’, bertujuan memastikan keadilan serta integriti sentiasa terpelihara tanpa campur tangan mana-mana pihak dalam sistem atau perjalanan kes-kes yang dibicarakan di mahkamah.

Memahami pentingnya prinsip keadilan senantiasa dilindungi dan dijamin dalam sistem kehakiman, ketika pembukaan Dewan Negeri Ke Empat Belas, pada 6 Ogos 2018, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak telah menzahirkan titah agar satu lagi Mahkamah Rayuan diwujudkan di atas Mahkamah Rayuan yang sedia ada.

Ia untuk membolehkan kes-kes yang bermula pendengaran di Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai peluang mengemukakan dua kali rayuan sebagaimana peluang merayu yang diberikan kepada kes-kes yang bermula pendengaran di Mahkamah Rendah Syariah.

Alhamdulillah pada 5 Disember 2018, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan telah meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran dan Enakmen Mahkamah Syariah, membolehkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah. Pada 16 Julai 2020, Mahkamah Utama Syariah telah memulakan sidang pertamanya dan memberikan penghakiman pertamanya pada 24 Februari 2021 yang lalu.

Konsep rayuan telah lama wujud dalam Islam, diperlihatkan melalui firman Allah SWT dalam surah Sod ayat 20-27 berkaitan keputusan penghakiman yang dibuat oleh Nabi Daud AS yang menerangkan tentang kemungkinan berlakunya kesilapan atau kesalahan dalam memutuskan sesuatu hukuman.

Rayuan perbicaraan telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW: yang boleh dipelajari daripada kes yang dibicarakan ketika Sayidina Ali RA menjadi Gabenor Yaman.

Keputusan yang dibuat oleh Sayidina Ali RA terhadap pihak yang bertelingkah tidak memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak.

Oleh yang demikian Sayidina ‘Ali menasihatkan mereka supaya menyampaikan ketidakpuasan terhadap keputusan tersebut kepada Rasulullah SAW, sebagaimana katanya:

“Saya akan memutuskan perselisihan antara kamu sekiranya kamu reda, maka itulah keputusan saya. Jika tidak, hendaklah kamu bekukan dahulu, jangan membuat apa-apa tindakan sehingga Rasulullah SAW datang memberi keputusan kepada kamu.”

Mendengar hal itu, kedua-dua pihak yang bertelingkah menemui Rasulullah SAW menceritakan kes mereka.

Setelah mendengar rayuan mereka, Baginda SAW merumuskan bahawa keputusan yang diputuskan oleh Sayidina Ali RA adalah benar dan disahkan.

Sayidina Ali RA merupakan orang pertama yang membuat garis panduan dan peringatan kepada hakim-hakim supaya membuat penyemakan semula terhadap kes-kes yang didapati ada berlakunya kesilapan.

Antara kandungan risalah Khalifah ‘Umar RA yang diutus kepada Qadi Abi Musa al-Ash’ari RA, berbunyi: “Janganlah sesuatu menghalang keputusan (kehakiman) kamu setelah kamu memutuskannya pada had ini, maka hendaklah kamu mengulang kaji kesemuanya mengikut ijtihad kamu.

Itu akan memberi hidayah kepada mu sekiranya kamu mengulang kaji untuk mencari kebenaran. Bermakna mengulang kaji sesuatu kebenaran itu lebih baik daripada terus berada dalam kebatilan.

Kesimpulannya, mahkamah mempunyai peranan yang amat besar untuk menyedia dan melaksanakan perkhidmatan secara adil, cekap dan berkesan berlandaskan undang-undang.

Pada masa yang sama, semua pihak perlu memenuhi peranan menurut bidang kuasa yang ditetapkan agar matlamat keadilan dapat tercapai.

Kemuliaan mahkamah wajib dijaga dan jangan sama sekali dipersendakan.

Mahkamah hendaklah senantiasa menjadi tempat untuk mencari kebenaran dan mengabsahkan kebenaran.

Sesungguhnya tanggungjawab melaksanakan keadilan amat berat, Rasulullah SAW memberikan peringatan:

Maksudnya: Barangsiapa yang menjadi Qadhi/Hakim, maka sebenarnya dia telah disembelih tanpa pisau.

Namun, jika penghakiman seorang hakim itu menepati keadilan dan sumber hukum syarak, Allah SWT menganugerahinya ganjaran atas usaha ijtihadnya, sebagaimana hadis Nabi SAW:

Maksudnya: Jika seorang hakim memutuskan sesuatu hukuman dengan ijtihadnya dan nyata benar, maka ia mendapat dua pahala. Dan jika seorang hakim memutuskan sesuatu hukuman dengan ijtihadnya lantas ia salah. Baginya satu pahala. (Riwayat Al-Bukhari 7352). -Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here